Sunday 9 September 2012

PERNAFASAN DALAM MELATIH LIAN

Nafas adalah suatu yang sangat diberi penekanan dalam seni beladiri. Mana-mana martial art dalam dunia, selain silat juga memperincikan aspek ini mengikut fahaman masing-masing.

Dalam aspek kerohanian juga, nafas ada cerita dan detailnya yang tersendiri. Itu, cerita lain..

Yang kawan nak kongsikan di sini, fungsi nafas dalam beladiri. Singkatan LIAN yang diterangkan oleh Ayahanda Dr. Haji Hasyim Salleh ialah Latihan Itu Ada Nafas. Setiap pergerakan kita dalam jurus dan lian yang kita latihkan, ada 'nyawa'nya yang tersendiri, yakni ada fungsinya, ada gunanya, ada pengertiannya yang tersendiri lagi sejati..

Secara fizikalnya, nafas turut menjadi keutamaan. Dalam sukan, stamina sering dikaitkan dengan kebolehan kita bertahan melakukan sesuatu aktiviti dalam sela masa yang lama. Ini berkait dengan fungsi kardio kita, iaitu kebolehan jantung mengepam darah ke seluruh badan, dan sumber pembakar tenaga utama yang diperlukan badan ialah Oksigen iaitu udara yang disedut ketika kita bernafas.

Maka, tidak hairanlah nafas memainkan peranan utama. Banyak kaedah untuk melatih nafas ada dalam ilmu Melayu dulu-dulu. Bacaan al-fatihah senafas yang kita amalkan (bagi pengamal Lian Padukan) ketika membuka gelanggang juga adalah antara latihan pernafasan yang baik, selain lain-lain aktiviti fizikal yang kita latihkan. Malah, dengan melatih pernafasan juga sebenarnya kita secara tidak langsung melatih kekuatan fizikal. 

Oleh itu, jangan hanya terhadkan latihan semata-mata di gelanggang atau kelas latihan sahaja. Joging, berbasikal, berenang, main futsal dan lain-lain aktiviti fizikal juga hendaklah dirajinkan kerana banyak manfaatnya. Elakkan merokok, kerana secara peribadi, bagi kawan, merokok merendahkan martabat kita sebagai pengamal seni beladiri yang berdisiplin. Tak elok kan, anak-anak murid yang masih muda belia dan bersekolah, melihat guru atau jurulatih apa-apa beladiri sekalipun merokok. Terang-terang merokok menjadikan nafas kita berbau, dan lagi, Ayahanda Dr. Haji Hasyim sendiri bukanlah seorang perokok.

Antara latihan lian untuk pernafasan ialah jurus perdana 3 langkah senafas, buat lian senafas dan sudah tentu, amalan lian gulung iaitu lian 16 dalam silibus Lian Padukan. Mesti ada sebab, kenapa Lian Gulung adalah lian terakhir yang dipelajari sebelum khatam.... Lain-lain latihan adalah mengikut kreativiti masing-masing, dan panduan guru. 



Tuesday 28 August 2012

PETUA DARI MUTIARA KATA

Hendak mengena, tak nak kena

Dua gerak tiga ruat

Ukur dan jangka hendaklah dipelajari, barulah diketahui syarat berdiri

Hendaklah mendulu, jangan menunggu, bertalu-talu, jangan tualu

Diam gerak gayang ruat

Pat pat siku lipat, siapa cepat dia dapat

Membujur lalu melintang patah


Ini antara kata-kata mutiara yang berlegar di ruang permainan buah pukul dan persilatan, terutama dari susur galur Syeikh Abdul Rahman Yunan. Ada yang kita fahami melalui penerangan guru-guru. Ada juga melalui perbuatan, yang hanya boleh kita fahami melalui latihan.

Kita sedia maklum, orang Melayu lama gemar berkias, lagi puitis dalam berbahasa. Dalam bertumbuk pun, diwujudkan istilah-istilah atau frasa untuk menyimpulkan perihal petua bertumbuk. Ibarat kod-kod rahsia, yang mana murid-murid yang faham akhirnya akan 'decode' setiap kata-kata sebagai rumusan permainan, untuk kegunaan sendiri dan diamalkan.

Petua. Pentingnya petua, sehinggakan orang dulu-dulu biasa kita dengar tempoh pembelajaran silatnya tidak lama, buah asasnya tidaklah banyak sampai beratus-ratus untuk dihafal dan pergerakan mereka tidaklah rigid, kefahaman mereka sangat luas tentang apa yang diamalkan. 

Pernah pakcik kawan ceritakan pada kawan, tentang Allahyarham Tok Wan kawan. Beliau merupakan anak kelahiran Kurau, Perak. Diceritakan, beliau pernah bertempur dengan empat orang handal dari Kedah, dan menewaskan mereka semua sekaligus. Dari apa yang ditunjukkan oleh pakcik kawan mengenai gerak dan tapak yang diamalkan arwah Tok Wan, kawan percaya Tok Wan adalah pengamal Sendeng, mungkin aliran Banjar yang pernah diajar di kawasan kependudukan Banjar seperti di Kerian dan Teluk Intan, Perak. Agaknya...

Antara yang disebut pakcik kawan ialah, "Tok Wan hang dulu dok tunjuk tepis makan, elak makan, tapak serong. Pak Andak pun tak ambik pot sangat, sebab tengah ralit dengan rock time tu. Rasa rugi tak belajaq.."


Tu sekadar cerita, tentang petua permainan yang sayangnya, tak dapat kawan warisi. Tapi alhamdulillah, Lian Padukan juga tak kurang dengan pegangan petua dan mutiara kata, seperti yang kawan paparkan di atas.

Apa itu syarat berdiri? Apa itu ukur dan jangka? Dua gerak tiga ruat? Senjata lapan gayang lima?

Tanya guru, insyaAllah guru-guru akan bantu. Yang penting, kita berlatih...

Friday 3 August 2012

PELAMPAS DALAM LATIHAN

Ayahanda beraksi dengan 'wooden dummy' di Studio LP Martial Arts Academy

Perkataan 'pelampas' ni kawan cuma dengar apabila mula mempelajari buah pukul. Maksudnya dari Kamus Dewan, tidaklah kawan tahu. Setakat yang kawan faham, pelampas itu adalah drill tertentu yang dilatih untuk kemahiran.

Dalam apa juga bidang sekalipun, latihan penting. Pelajar-pelajar institusi pendidkan dari tadika sampai ke universiti sentiasa dibekalkan dengan latihan untuk menambah kemahiran dan kefahaman. Atlet-atlet sukan juga dilatih dengan drill tertentu untuk meningkatkan stamina, fleksibilit dan kemahiran dalam sukan yang diceburi. Contohnya, atlet olahraga trek sentiasa dilihat melakukan drill seperti lunge, high knee, scissor run, ankling dan banyak lagi drill untuk melatih otot kecil dan besar bahagian bawah badan bagi menambahkan kelancaran larian. Itu, cerita lain.

Dalam senibeladiri, umum melihat ahli-ahlinya melakukan latihan tendangan dan tumbukan berulang-kali. Untuk menambah kekuatan dan akurasi serangan, beg tubi, pao dan lain-lain bahan bantu mengajar digunakan. Tak ketinggalan teknik bantingan dilatih menggunakan heavy bag dan gulingan dilakukan berulang kali, membawa ke muntah. Itu semua untuk mencapai tahap kemahiran dan kesmpurnaan dalam aliran yang dianuti.

Bagi buah pukul - kawan kongsikan dalam konteks Lian Padukan yang kawan pelajari - antara drill atau pelampas yang dilatih adalah pelampas tangan. Titik, siku dan tumbuk disasarkan pada tapak tangan secara berganti-ganti. Sebelum belajar dulu, kawan pelik jugak tengok silat ni, berlatih tepuk-tepuk tangan. Bila dah alami sendiri, baru faham. Itu untuk membiasakan kita dengan senjata-senjata pada tubuh kita. Tangan ada pelampasnya, kaki ada pelampasnya serti 'squat kicking' dan lutut juga ada pelampasnya yang tersendiri. Hatta mata juga ada pelampasnya yang juga tersendiri, untuk fokus penglihatan semasa berlaku sayembara pertarungan.

Malah, bagi kawan, jurus dan lian yang kita pelajari juga merupakan pelampas bagi pergerakan menyeluruh kita. Yang penting dilatih selalu. Untuk elak plateu dalam latihan, kadang-kadang kawan ikhtiarkan kaedah sendiri. Tak la jemu jadinya. Ayahanda Hj. Hasyim sendiri mempunyai 1001 pelampas yang jarang-jarang kita ketahui. Nak tau, rajin-rajin datang menjenguk beliau.

Yang penting, berlatih. Pelampas ke, apa ke, kalau tak dilatih, hampaslah jadinya...


Saturday 28 July 2012

LAIN NAMA, LAIN KAEDAH, TAPI ILMUNYA SAMA


Ayahanda Dr. Hj Hasyim menerangkan aplikasi Lian Tasbih yang dicipta oleh beliau


Dato' Pak Andak Majid dari Pusaka Gayung dengan kaedah Seni Cindai

Kawan suka melihat kepelbagaian aliran yang ada di dunia ini. Kita pun hidup di zaman serba segalanya di hujung jari. Nak tau itu ini, Google saja.

Kawan tertarik dengan suatu seni yang menggunakan senjata yang bersifat fleksibel. Kalau dalam Silat Seni Gayong Dato' Meor Rahman, perguruan itu cukup dikenali dengan Seni Cindainya yang ampuh. Sejak keluar Nat Geo, lagi bertambah gah permainan itu.

Dalam Seni Gayong Dato' Meor Abd. Rahman, Seni Cindai merupakan silibus peringkat atasan. Mengikut cerita kawan-kawan kawan, permainan cindai ini untuk pengamal yang matang, kerana permainannya yang merbahaya, jerut-menjerut dan pukul memukul. Belum masuk tentang Seni Cindai Basah. Itu, cerita lain..

Bagaimana pula dalam buah pukul? Pun ada juga. Cuma mungkin lain nama, istilah, penyampaiannya. Namun matlamat ilmu tetap sama, iaitu pukul-memukul dan jerut menjerut.

Dalam Lian Padukan, Ayahanda Hj. Hasyim telah diilhamkan untuk mencipta kaedah Lian Tasbih. Selain tasbih boleh dijadikan sebagai senjata rohani umat Islam, tasbih juga boleh dijadikan senjata yang ampuh. Dengan kaedah liannya yang tersendiri, tersembunyi permainan pukul-memukul dan jerut-menjerut mengikut dasar buah pukul. Namun untuk dijadikan senjata, tasbihnya harus 'lain sikit' dari tasbih kebiasaan. Nak tahu lanjut, rujuk Ayahanda Hj. Hasyim atau guru-guru khatam yang lain. 

Dari pemerhatian kawan, Seni Cindai dan Lian Tasbih ini boleh diadaptasi ke lain-lain peralatan yang fleksibel sifatnya seperti rantai, tali, kain, tali pinggang, tudung, dan lain-lain. Tinggal lagi kita mengambil kaedah geraknya dengan guru dari aliran-aliran yang diminati. Kawan percaya, seni beladiri lain juga ada kaedah seperti ini.

Lain nama, lain kaedah, tapi matlamat akhir ilmunya sama. Bak kata Allahyarham Guru Pak Mat Kedidi, "tertakluk pada akal budi bicara."

Tuesday 24 July 2012

BERSIANG-SIANGLAH SELALU, JANGAN BERMALAM


"Pukul jangan biar bermalam."

Itu antara pesanan keramat dari guru-guru silat, terutama aliran buah pukul. Pesan yang selalu dipanjangkan oleh Ayahanda Hj. Hasyim. 

Bagi orang yang agak asing dengan permainan buah pukul macam kawan, asalnya terkebil-kebil juga. Apa benda 'jangan bermalam' tu?

Kawan pun tak reti nak maksudkan 'jangan bermalam' ni secara literasi. Jadi ikut faham kawan, bila datang pukulan, jangan sekadar tepis sahaja. Tepis dan terus lapis. Lapis berkali-kali. Kalau kita pula yang mendulu memukul, jangan pukul sekali saja. Pukul berkali-kali.

Sebab tu ada disebut oleh pandai buah pukul, "hendaklah mendulu, janganlah menunggu...bertalu-talu jangan tualu.."

Biasa kita tengok dalam drama-drama yang ada aksi pergaduhan, bila samseng menumbuk hero, hero akan menangkis tumbukan samseng sambil mengelak, kemudian baru hulur penumbuk. Jadi ada tiga kerja dilakukan dalam tiga gerak. Menangkis, mengelak dan menumbuk.

Dalam permainan buah pukul, setakat apa yang kawan alami, tidak begitu. Sebagai contoh, apabila kita menyorong penumbuk pada lawan, lawan bertindak menangkis tumbukan kita. Kita terus melapis tangkisan lawan dan terus-menerus menghantar serangan ke arah lawan. Sama juga apabila kita menanti serangan, sebaik tumbukan lawan memasuki zon pertahanan kita, kita terus menitik tumbukan lawan dan terus menerus menghantar serangan kepada lawan. Makan dalam gerak.

Yang mudah, kita mudahkan.

Tapi.... cakap memang mudah. Buatnya tu yang payah.

Sama-samala kita usaha berlatih ye. InsyaAllah, tak dapat sekarang, dapat akan datang....

Kalau dah sama-sama lawan melapis, camne pulak? mmmmmmm...

"Pat-pat siku lipat......."


Saturday 21 July 2012

RAIKAN PERBEZAAN


Dalam tahun 2009, kawan ada menyertai sebuah seminar pelancongan anjuran kerajaan negeri Selangor dan Tourism Selangor. Tahun itu, tema bagi sambutan Hari Pelancongan Sedunia ialah 'Celebrating Diversity'. Meraikan perbezaan atau kepelbagaian, bak kata orang Banjar.

Bagi yang rajin subscribe Majalah Seni Beladiri, quote utamanya adalah 'Bersatu Dalam Beladiri'.

Allah s..w.t mengurniakan kita dengan pelbagai ilmu untuk kelangsungan hidup di dunia, sebagai persiapan untuk ke akhirat. Kawan kecilkan skop, ilmu beladiri. Subhanallah, terlalu banyak. Dari seIslamik Silat sampai ke Yahudi Krav Maga. Terlalu banyak untuk disenaraikan.

Dalam Islam sendiri, kita diwajibkan untuk menjaga amanah Allah iaitu agama, nyawa, harta, maruah, dan keluarga. Untuk menjaga setiap satu itu perlukan ilmu. Maka manusia-manusia terpilih diilhamkan untuk menyusunkan pola pergerakan mempertahankan diri dari sebarang ancaman.

Dan semua itu menggunakan senjata lapan dan tulang empat kerat. 

Maka, kenapa nak digaduhkan setiap perbezaan, sedangkan asal perbuatannya sama. Menumbuk dengan tangan, menendang dengan kaki, menyiku dengan siku dan melutut dengan lutut.

Raikanlah perbezaan. Hargai setiap persamaan. Kita bukan lagi di zaman siapa kuat. Asli tak asli juga bukan pertikaian untuk berdebat mana yang logik untuk diaplikasi. Asal boleh pakai, pakai.

Sebab tu kawan suka baca tulisan-tulisan mendiang Bruce Lee. Memandangkan mendiang memang lulusan falsafah, ayat-ayatnya tersusun dan mudah difahami untuk dihayati. "Be like water", "a punch is a punch and a kick is a kick", "i'm afraid of one who kicking 10000 times" dan macam-macam lagi, melambangkan mendiang terbuka dalam membiacarakan disiplin ilmu beladiri. Tok-tok kita pun banyak yang lagi hebat. Kita je tak rajin nak mengaji.

Raikan perbezaan. Mungkin ada yang kurang pada kita, ada pada hak orang lain. Yang lebih pada kita mungkin kurang pada orang lain. Sama-sama belajar.

Hidup ni kalau malas nak belajar, kawan pun tak tau nak cakap camne lagi. Malas nak cakap....

LOGIK TAK LOGIK?

Allahyarham Pak Andak Wahab dan Ayahanda Hj. Hasyim


Selamat berpuasa untuk hari yang kedua!

Alhamdulillah. Berkesempatan kita melangsungkan ibadah puasa untuk hari ini. So, macam mana pulak dengan latihan kita? Harapnya semakin berpuasa, semakin bersemangatlah ye..

Dulu, kawan selalu jugak memikirkan tentang satu hal ni - Logik atau tak?

Logik atau tidak sesuatu buah? Logik atau tidak tari silat? Logik atau tak kuncian diaplikasikan pada orang yang berjasad lebih besar dan gagah dari kita? Dan banyak lagi. Benda yang orang tua-tua tak suka kat orang muda kot, banyak sangat soalnya. Tapi bukan untuk guru-guru kita. Guru-guru kan suka kalau murid rajin bertanya. Bertanya kan kunci kepada ilmu pengetahuan.

Kebanyakan persatuan silat mewujudkan sebuah sistem yang dipanggil silibus (atau nama-nama lain mengikut perguruan) untuk memudahkan murid-muridnya belajar satu persatu. Bila tamat satu peringkat, diadakan ujian untuk menguji kefahaman dan penguasaan murid akan satu-satu silibus. Biasalah ni, kat sekolah pun ada exam kan.

Namun yang menjadi permasalahan, silibus-silibus itu dihafal, bukan dihayati. Maka yang kita lihat, sesuatu perbuatan menjadi rigid, kaku. Nampak berseni perbuatan, tapi isinya................

Salah guru ke? Bagi kawan, tidak. Totally, salah pengamal tu sendiri. Mengejar bengkung, mengejar pelajaran tanpa cuba menguasai. Maka, bila berlaku situasi yang memerlukan ilmu senibeladiri dipakai, koboilah jadinya. Mana entah elakan 1, mana buah kunci 8, mana pukulan 3.

Sebab tu, kefahaman itu penting. Logik datang dari kefahaman dan penguasaan. Kawan secara peribadi melihat permainan buah pukul, mana-mana aliran dan cabang sekalipun adalah logik.Sebabnya? Silibus yang tak terlalu banyak, dan tak dibuat-buat untuk dibanyakkan. Apa yang ada dalam setiap pergerakan ada asasnya, ada sebabnya, ada buahnya.

Tapi kawan tidaklah menidakkan permainan lain. Ye, kawan akui, dulu kawan skeptik pada permainan silat pulut. Bertari-tari, bila nak pukul? Tapi sekarang, makin hari kawan makin nampak, bisanya buah pukulan yang terselit dicelah-celah bunga dan daun silat tari. Dulu kawan tak nampak peri pentingnya buah-buah kuncian dalam silat, walhal dalam pergerakan mengunci itu sendiri ada pukulan.

Pendek kata, logik tak logik tu kita sendiri yang tentukan. Jawapannya ada pada latihan.

Nak buat kamiran dalam matematik tambahan, sikit punya azab kalau setakat tengok formula je kan?


Apa kejadahnya menatang ni? Bayangkan formula di atas ni adalah 'lian' yang kita pelajari. Contohnya untuk silibus dalam Lian Padukan, Lian 1. 

Kalau setakat tengok orang buat dalam Youtube, kemudian kita hafalkan pola pergerakannya selak sana, selak sini, kita tau ke apa aplikasinya? Sama macam formula di atas. Kalau setakat hafal, tapi tak buat latihan, masuk exam setakat boleh tulis formula je lah.

Latihan. Kena banyak latihan. Baru datang logik bagi setiap pergerakan, perbuatan.